Panduan Serangan Strok
“CEPAT, CEPAT, CEPAT. Aku rasa Ayah kena strok ni. Nak buat apa ni? Nak buat apa?!”
Jangan panik. Bawa bertenang. Rewind balik.
Mula – mula, kena kenal dahulu apa itu STROK. Ada berbagai terma yang digunakan untuk merujuk kepada strok; angin ahmar, stroke, dan cerebrovascular accident (CVA).
Apa sebenarnya penyakit ini?
Strok adalah keadaan dimana bekalan darah ke otak terganggu. Ia mengakibatkan bekalan oksigen dan nutrien tidak sampai ke bahagian otak yang terlibat dan sel otak tersebut akan mati. Ada dua sebab utama bekalan boleh terganggu:
1. Saluran darah tersumbat (ischemic stroke).
2. Pendarahan dari salur darah yang pecah (hemorrhagic stroke).
Bahaya tak?
Sudah tentu ia bahaya. Strok merupakan penyebab kematian ketiga tertinggi di Malaysia (penyebab utama adalah serangan jantung). Bagi pesakit yang berjaya diselamatkan, kesan utama strok adalah lumpuh. Dianggarkan hampir 40,000 rakyat Malaysia diserang strok setiap tahun. Risiko untuk mendapat serangan strok lebih tinggi dikalangan pesakit kencing manis, darah tinggi, tahap kolestrol tinggi dan perokok tegar. Walaubagaiamapun, serangan strok tidak terbatas oleh umur. Sesiapa sahaja boleh diserang strok.
Oleh sebab itu, anda kena ingat nemonic ini: C-E-P-A-T.
Nak cepat sangat kan? Hah, nah ingat ni!
C – Cakap
Adakah pesakit boleh bercakap sepeti biasa. Kalau orang putih panggil slurred speech, orang Melayu panggil cakap telo. Basically, bunyi lain lah. Ataupun, pesakit langsung tidak dapat bertutur.
E – Ekspresi
Lihat muka pesakit. Nampak lain tak? Senget sebelah tak? Ada tak nampak air liur mengalir keluar dari sebelah bibir? Ini adalah tanda – tanda strok.
P – Perasaan kebas
Pesakit akan ada rasa kebas – kebas di sebelah badan. Kaki, tangan dan muka. Walaubagaimanapun, pesakit mungkin tidak dapat memberitahu akibat hilang keupayaan untuk bercakap.
A – Angkat tangan
Seseorang yang diserang strok akan lumpuh separuh badan. Jadi, pesakit tidak mampu untuk mengangkat tangan atau kakinya pada satu belah.
T – Telefon
Jangan tunggu. Jangan buat benda pelik seperti mencucuk cucuk hujung jari pesakit dengan jarum untuk buang ‘ketulan darah’. Itu mitos (boleh baca mitos disini). Angkat sahaja telefon dan terus hubungi 999 untuk dapatkan ambulans. Jangan tunggu lagi. Rawatan awal boleh mengelakkan komplikasi strok dan boleh memberi pesakit peluang yang lebih tinggi untuk pulih sepenuhnya.
Susah sangat nak ingat C-E-P-A-T?
Cuba ingat versi Bahasa Inggeris pula. Ia lebih mudah untuk dihafal.
F – A – S – T
Face: Muka herot atau senget sebelah.
Arms: Tangan tidak boleh digerakkan.
Speech: Tidak boleh bercakap atau telo.
Time: Masa untuk bertindak dan bawa terus ke hospital.
Sebenarnya, komponen ‘time’ ini amat penting. Kenapa?
Kerana terdapat beberapa hospital di negara ini yang mempunyai rawatan reperfusion therapy dimana salur darah yang tersumbat boleh dinyahsumbat dan mengelakkan lebih banyak sel otak yang mati. Golden period untuk rawatan ini hanya 4 hingga 5 jam sahaja dari waktu serangan pertama (first onset of symptoms).
Walaubagaimanapun, bukan semua pesakit sesuai untuk kaedah rawatan ini. Doktor akan menilai pesakit dahulu sebelum memulakan rawatan.
Boleh ingat tak apa nak buat?
CEPAT atau FAST. Ingat tau.
“The faster you act, the more of a person you save.”
Source:
Panduan Serangan Strok