Author Topic: Apa nak buat kalau sawan?  (Read 2226 times)

ahmadmok

  • Rank: House officer
  • *
  • Posts: 0
Apa nak buat kalau sawan?
« on: March 01, 2019, 08:03:36 PM »
Apa nak buat kalau sawan?

ADEGAN DALAM SEBUAH DRAMA TEMPATAN.

“Eh, dia sawan ni. Tolong – tolong!”

Watak yang sedang sawan adalah seorang yang kemungkinanan besar mengalami kecederaan di kepala. Macam mana saya tahu? Sebab kepala dia kena balut. Terbaring pula diatas sofa.

“Cepat…cepat. Ambil sudu letak dalam mulut dia. Nanti dia tergigit lidah.”

Sambil mangsa masih dalam keadaan sawan dan berbuih – buih mulut, seorang wanita meletakkan sudu ke dalam mulut mangsa.

“Haaa, bagi dia gigit ni. Gigit!”

Dan begitulah keadaan sehingga mangsa henti sawan.

Yang paling tak tahan, rupa – rupanya wanita tadi adalah seorang doktor. Macam mana saya tahu dia doktor? Sebab dia cakap pada salah seorang lagi watak; “You doktor ke I doktor?!”.

Aduhai. Susah la kalau doktor pun rawat pesakit sawan macam ni.

Disebabkan ini hanya lakonan semata – mata, maka ia boleh dimaafkan. Tapi, berapa kali dah nak dimaafkan. Asyik berulang sahaja.

SAWAN?

1. Pertama sekali, apa itu sawan?

Sawan adalah disebabkan oleh aktiviti neuron – neuron di otak yang tidak terkawal. Ia adalah gejala (symptom) kepada sesuatu penyakit. Dalam erti kata lain, sawan bukan sejenis penyakit, tetapi ia adalah tanda kepada sesuatu penyakit. Ada berbagai jenis penyakit yang boleh menyebabkan sawan. 

Contohnya; meningitis, angin ahmar, epilepsi  dan kecederaan kepala. Ia bukan sesuatu yang normal dan pesakit harus mendapatkan rawatan di pusat kesihatan.

Gambar dari Drugs.com


2. Bagaimana hendak kenal pasti sawan?

Biasanya tanda – tanda sawan adalah:
i.   Tidak sedarkan diri (unconscious)
ii.  Pergerak otot yang mengejang (tonic/contract) dan mengendur (clonic/relax) dengan pantas.
iii. Mata memandang ke atas (eyes rolled upwards).
iv.  Tiada kawalan pundi kencing (urinary incontinence).
v.   Tiada kawalan menahan najis (fecal incontinence).

Bukan semua tanda – tanda di atas akan dilihat ketika sawan berlaku. Terdapat banyak jenis sawan menurut klasifikasi tertentu. Untuk orang awam, cukup untuk anda kenal pasti tanda –tanda asas seperti diatas.

Gambar dari A.D.A.M


APA NAK BUAT KALAU BERTEMU MANGSA SAWAN?

1. BAHAYA (DANGER).

Pastikan keadaan sekeliling mangsa selamat sebelum anda membantu. Alihkan segala objek sekeliling yang boleh mendatangkan mudarat kepada mangsa yang terbaring dan tidak sedarkan diri. Longgarkan tali leher atau tudung mangsa jika didapati ia boleh mengganggu pernafasan mangsa. Anda juga boleh meletakkan kain atau benda lembut dibelakang kepala mangsa untuk mengelakkan kecederaan di kepala.

2. MASA
Setelah keadaan sekeliling selamat, duduk tepi dan lihat sahaja mangsa.

JANGAN masukkan sudu dalam mulut mangsa.
JANGAN lettakkan jari anda dalam mulut mangsa.
JANGAN letakkan kain dalam mulut mangsa.
JANGAN cuba menghalang (restrain) pergerakan mangsa. Nanti lebih banyak kecederaan yang dialami mangsa akibat cubaan menghentikan pergerakannya.

“Habis tu? Takkan nak biar dia gigit lidah dan bibir dia?!”

Biarkan. Ada perkara lain yang lebih penting untuk dijaga. Aspek yang paling penting adalah PERNAFASAN mangsa. Kalau dah letak sudu, jari dan kain dalam mulut mangsa, macam mana mangsa nak bernafas? Elok elok boleh selamat, benda lain pula jadi.

Jadi, duduk elok – elok dan lihat berapa lama pesakit sawan. Maklumat berkenaan tempoh sawan berlaku amat penting supaya doktor mengetahui rawatan yang harus diberikan.

Biasanya, sawan hanya berlaku dalam tempoh beberapa saat. Walaubagaimanupun, ia boleh berlaku dalam tempoh lebih lima minit dan boleh berlaku secara berulang – ulang.

3. PASCA – SAWAN (POST ICTAL).

Setelah pergerakan sawan (tonic clonic seizure) berhenti, perhatikan samada mangsa bernafas atau tidak. Gunakan gerakan healt tilt, chin lift (seperti dalam lukisan One Pint Normal Saline) untuk membuka salur pernafasan.

Apabila sudah mendapatkan kepastian bahawa mangsa masih bernafas, letakkan mangsa dalam kedudukan pemulihan (recovery position) seperti dalam lukisan.

Gambar dari Ausmed.com


Dalam keadaan pasca sawan, mangsa biasanya dalah keadaan separa sedar dan mengantuk. Bawa pesakit terus ke hospital untuk rawatan seterusnya.

Jika mangsa tidak bernafas, dapatkan bantuan kecemesan segera dan mulakan kaedah tekananan dada (CPR) sehinga bantuan tiba.

Mudah kan? Tak perlu berkejar mencari sudu besi bagai. Perhatikan dan pastikan mangsa selamat. Itu sahaja.


MOfrust

Source: Apa nak buat kalau sawan?

Doctors Only Bulletin Board System (DOBBS)

Apa nak buat kalau sawan?
« on: March 01, 2019, 08:03:36 PM »

 


Powered by EzPortal